Kota Kinabalu: Sabah FC bernasib baik apabila berjaya mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC 2-2 walaupun dua kali ketinggalan pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Kota Kinabalu: Sabah FC bernasib baik apabila berjaya mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC 2-2 walaupun dua kali ketinggalan pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Kelalaian benteng pasukan tuan rumah menyebabkan pasukan lawan mendapat kelebihan sehingga berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Gol pertama KL City menerusi pemain importnya, Giancarlo Gallifuoca pada minit kelima yang menanduk masuk sepakan percuma kapten mereka, Paulo Jouse.
Selepas dikejutkan dengan jaringan itu, Sabah mula mengatur serangan dan berjaya mencipta beberapa peluang, namun dipatahkan penjaga gol lawan, Kevin Mendoza.
Sabah meningkatkan serangan bermula pada minit ke-12 apabila pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama melakukan cubaan dengan tandukan, namun agak lemah dan mudah dihalang oleh Mendoza.
Peluang seterusnya menyusul melalui dua sepakan sudut pada minit ke-23 dan ke-24 sebelum disusuli sepakan percuma dari luar sebelah kanan kotak penalti KL City pada minit ke-25, namun masih gagal menewaskan penjaga gol lawan.
Memasuki babak kedua perlawanan, rentak permainan sedikit berubah dengan persembahan lebih agresif skuad Sang Badak dalam usaha mencari gol penyamaan.
Sabah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-47, menerusi peluang dimanfaatkan Dominic Tan yang melakukan cubaan selepas bola terlepas daripada hadangan penjaga gol KL City.
Bagaimanapun, Sabah sekali lagi dikecewakan apabila KL City berjaya menambah gol kedua menerusi Akram Mahinan pada minit ke-60 sekali gus mengubah kedudukan dengan KL City mendahului 2-1.
Namun, skuad Sang Badak tetap meneruskan usaha menyamakan kedudukan sehingga akhirnya berjaya pada minit ke-85 menerusi sepakan percuma Saddil Ramdani.
Dengan kedudukan kembali terikat 2-2 ketika permainan sudah di hujung perlawanan, kedua-dua pasukan berusaha mencari peluang untuk mencipta gol kemenangan namun gagal, menyebabkan masing-masing terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
Sumber : Harian Metro
KOTA KINABALU: Kumpulan Sawit Kinabalu membayar dividen berjumlah RM30juta kepada Kerajaan Negeri bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 yang merupakan dividen untuk suku kedua tahun ini.Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan penyampaian dividen berkenaan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong di Menara Kinabalu di sini, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata syarikat itu berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM350 juta pada tahun lepas.
“Sejak tahun 1996, Kumpulan Sawit Kinabalu telah membayar dividen berjumlah RM1.3 bilion kepada Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Hajiji yang mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Borneo Samudera Sdn Bhd memuji Kumpulan Sawit Kinabalu kerana melepasi sasaran keuntungan sebelum cukai sebanyak 222 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Katanya, syarikat ini telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM220.16 juta berbanding sasaran RM99.11 juta berikutan lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) iaitu RM6,215 setan metrik (MT).
“Bagaimanapun, saya mengingatkan pihak pengurusan bahawa harga MSM pada separuh kedua tahun ini dijangka akan menurun antara RM4,000/MT dan RM4,300/MT.
“Saya menyeru pihak pengurusan supaya mengambil tindakan proaktif dalam menangani cabaran dan juga peningkatan kos pengeluaran,” katanya.
Sementara itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada pengurusan Kumpulan Sawit Kinabalu kerana memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Rakan Pemuliharaan daripada Jabatan Perhutanan Sabah dan Anugerah Jenama Terbaik Minyak Sawit 2021-2022 baru-baru ini.
“Sawit Kinabalu adalah syarikat industri minyak sawit pertama di Sabah memenangi Anugerah Jenama Terbaik.
“Ia menunjukkan Sawit Kinabalu berada di landasan yang betul dan saya berharap anugerah itu akan memberi motivasi supaya lebih bekerja keras bagi memastikan syarikat ini meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.
“Ia menunjukkan Sawit Kinabalu berada di landasan yang betul dan saya berharap anugerah itu akan memberi motivasi supaya lebih bekerja keras bagi memastikan syarikat ini meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang dan Timbalan Pengerusi Borneo Samudera Sdn Bhd Khairul Firdaus Datuk Akbar Khan.
Sumber : Utusan Borneo
KOTA KINABALU: 76 Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC) diarahkan untuk menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) dalam tempoh tiga bulan sehingga Disember ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan penubuhan unit itu penting berikutan hanya sembilan daripada 85 Badan Berkanun Negeri dan GIC yang menubuhkan unit itu setakat ini.
“76 lagi Badan Berkanun Negeri dan GIC yang belum menubuhkan IGU diminta untuk mengambil perhatian serius sehingga Disember tahun ini untuk menubuhkan unit berkenaan di agensi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti Negeri Sabah di Auditorium Utama Menara Kinabalu di sini semalam.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.
Sembilan Badan Berkanun Negeri dan GIC yang sudah menubuhkan unit berkenaan termasuklah Lembaga Industri Getah Negeri Sabah, Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA), Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Perbadanan Pinjaman Sabah, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO), Kumpulan Yayasan Sabah, Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd. (SUDC), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan pada 12 November 2019 kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terkini dirujuk sebagai GIC untuk menubuhkan IGU dalam tempoh dua tahun daripada tarikh arahan dikeluarkan.
Hajiji berkata penubuhan unit ini penting agar budaya kerja berintegriti diamalkan dalam perkhidmatan dengan telus, tiada kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa dan patuh kepada peraturan serta undang-undang yang berkuatkuasa.
“Tanggungjawab ini perlu digalas sebaiknya oleh 20,920 penjawat awam negeri dan 107,097 Persekutuan di Sabah yang dituntut oleh kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia di Sabah.
“Ketirisan integriti yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan seharusnya tidak berlaku sekiranya semua inisiatif kerajaan dan budaya kerja berintegriti dipatuhi,” katanya.
Hajiji turut mengarahkan semua 17 Jabatan Ketua Menteri membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) manakala kesemua 11 kementerian berjaya membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing.
“Saya mahu semua jabatan, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri yang belum membangunkan Pelan Antirasuah diberikan tempoh sehingga bulan Disember 2023.
“GIC digalakkan untuk membangunkan Pelan Antirasuah dan mendapatkan pensijilan Anti Bribery Management System (ABM),” katanya.
Beliau berkata status pembangunan Pelan Antirasuah dan pelaksanaan ABMS perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri selain kesemua Ketua Jabatan harus memainkan peranan proaktif bagi memastikan agensi di bawah kawalan masing-masing membangunkan Pelan Antirasuah.
Katanya dalam usaha mengekang ketirisan hasil Kerajaan Negeri dari terus berlaku, satu Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang terdiri daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Malaysian Palm Oil Berhad dibentuk bagi tujuan mengutip semua cukai jualan yang gagal dibayar sebelum ini.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri sudah memulakan inisiatif Menyelesaikan Isu-Isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan hasil inisiatif ini sebanyak 63 daripada 116 isu teguran audit berjaya diselesaikan sepanjang tempoh Januari 2021 hingga 25 Ogos tahun ini.
Penganjuran Hari Integriti Negeri Sabah adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) (2021-2025) dan sempena sambutan itu, Ketua Mehteri turut melancarkan Buku Semakan Semula Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri (PAR JKM) 2019-2023.
Buku Semakan Semula ini mengandungi 20 inisiatif yang telah ditambah baik seiring dengan hala tuju dan agenda kerajaan ke arah pengukuhan integriti, antirasuah dan tadbir urus baik.
Sumber: Utusan Borneo
KOTA KINABALU : Rakyat Sabah terdiri dari pelbagai kaum dan etnik khususnya yang berada di sekitar bandaraya dan daerah berdekatan hari ini teruja untuk hadir pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah yang berlangsung secara sederhana di Padang Merdeka.
Keterujaan rakyat negeri ini dalam menyambut hari bermakna itu adalalah selepas dua tahun negara tidak dapat berbuat demikian ekoran penularan pandemik COVID-19.
Tinjauan mendapati, orang ramai mula hadir seawal jam 6 pagi selain ada yang sanggup meletak kenderaan jauh termasuk bermalam lebih awal di ibu negeri khususnya mereka yang dari luar daerah Kota Kinabalu.
Pengunjung, Norhidayah M Hassan yang datang bersama suami dan tiga anaknya berkata, ini adalah kali pertama mereka hadir menyaksikan perarakan bersama keluarganya.
“Kami datang ke KK (Kota Kinabalu) semalam bersama keluarga dan datang ke sini adalah khas untuk membawa anak-anak kami menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan ini.
“Bagi saya secara peribadi, saya sangat teruja untuk menyaksikan sambutan ini lebih-lebih lagi anak dan suami juga ikut sama,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini hari ini.
Suaminya, Zamani Sulaiman berkata, anak-anaknya yang berusia enam hingga 12 tahun amat gembira dapat menyaksikan perarakan khususnya yang melibatkan unit beruniform.
Bagi penjawat awam, Muhammad Mohd Ali berkata, beliau berasa syukur dan gembira selepas beberapa tahun rakyat khususnya negeri ini berdepan pandemik COVID-19 dan tidak dapat berkumpul dalam skala besar seperti tahun ini.
“Pada hari ini kita dapat menyaksikan begitu ramai yang hadir walaupun tempat agak terhad namun kita lihat pelbagai lapisan etnik berpusu-pusu memenhi segenap ruang di Padang Merdeka ini.
“Apa yang lebih menarik, rakyat dapat melihat secara langsung aktiviti yang diadakan. Ini menunjukkan bahawa mereka begitu bersemangat dan mempunyai jiwa patriotik dalam merayakan sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” katanya.
Perkara sama turut diakui seorang pengunjung Abd Halim Alimudin yang turut berasa bangga apabila dapat turut sama merayakan sambutan Hari Kebangsaan selepas dua tahun tidak diadakan secara meriah.
“Menerusi sambutan ini juga, kita dapat mengumpulkan semua rakyat Malaysia untuk sama-sama menjiwai semangat kemerdekaan dan harapan kita agar anak-anak muda dapat bersama-sama menghargai masa lampau pejuang negara kitra,” katanya.
Terdahulu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Sambutan tahun ini menyaksikan pembabitan seramai 86 buah kontinjen perbarisan meliputi agensi kerajaan dan swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) ; pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta selain pasukan anggota beruniform.
![]() |
Safar Untong |
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri itu bermula November ini hingga Februari tahun depan.
Setiausaha Kereajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, berkata seramai 8,432 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan di negeri itu sedia untuk ditugaskan.
Di samping itu, katanya, sebanyak 928 pengangkutan darat, 206 pengangkutan air serta lapan logistik udara juga telah dikenal pasti dan disediakan untuk menghadapi sebarang bencana banjir akibat monsun berkenaan.
Bagi kawasan sukar diakses menggunakan laluan darat, Safar, berkata sebanyak 75 lokasi pendaratan helikopter disediakan termasuk di kawasan berhampiran pusat pemindahan sementara bagi memudahkan urusan pemindahan penduduk dan penghantaran bantuan kepada mangsa
“Selain itu, sebanyak 608 lokasi ‘hotspot’ bencana banjir di Sabah juga telah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bagi membincangkan persediaan menghadapi MTL di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Angkatan Pertawanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mohtar Samat dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Rusli Ibrahim.
Safar berkata semua pegawai daerah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, turut diarah bersiap sedia dan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di daerah masing-masing pada bila-bila masa.
Kerajaan Sabah sentiasa memantau isu-isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan serta agensi terlibat bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan lancar, katanya. – BERNAMA
Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, kenaikan itu dilihat ketara sejak akhir-akhir ini terutamanya ketika musim cuti sekolah.
Katanya, harga tambang penerbangan naik sehingga mencecah RM1,300 berbanding sebelum ini yang hanya berada pada kadar RM500.
“Perkembangan ini perlu dipertimbangkan kerana ia jelas tidak menggalakkan integrasi nasional dan industri pelancongan di Sabah.
“Kita berharap perkara ini diambil perhatian oleh semua syarikat penerbangan komersial tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Jelani yang juga Pengerusi Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd berkata semua syarikat penerbangan sepatutnya menambahkan kekerapan jumlah penerbangan dan bukannya menaikkan harga tiket.
Katanya sebelum ini ada syarikat penerbangan yang menambah pesawat penerbangan dan ia perlu diteruskan.
“Sebenarnya, ia boleh dilakukan semua syarikat penerbangan berikutan tidak banyak penerbangan antarabangsa diperlukan ketika ini.
“Jangan naikkan harga tiket, sebaliknya tambah penerbangan ulang alik ke Sabah,” tegasnya.
Jelani berkata harga tiket penerbangan yang ditawarkan juga hendaklah berpatutan dan tidak membebankan rakyat yang menggunakan perkhidmatan itu.
KOTA KINABALU: Masyarakat kini boleh menikmati barangan keperluan asas lebih murah sempena dengan kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM).
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru Reduan Aklee berkata, dalam kempen berkenaan, kerajaan akan memberikan diskaun atau subsidi sebanyak 20 peratus terhadap barangan keperluan asas terpilih.
"Antara barangan asas itu adalah seperti beras 10 kilogram, daging ayam, gula, tepung, sayur serta bahan makanan yang lain.
"Untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Bataras Superstore Sembulan telah dipilih untuk melaksanakan kempen ini," katanya ketika ditemui ketika membuat tinjauan kempen berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kempen berkenaan adalah hasil inisiatif Perdana Menteri berikutan ramai dalam kalangan rakyat masih terjejas akibat pandemik COVID-19.
Katanya, kempen berkenaan mula diadakan hari ini sehingga Disember 2022.
"Kempen ini akan diadakan sehari setiap minggu, pada hujung minggu Sabtu atau Ahad. Hari ini kita laksanakan pada hari Selasa.
"Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru telah diamanahkan untuk melaksanakan kempen ini di sini dengan kadar segera demi membantu rakyat secara keseluruhan," katanya.
Katanya, setiap DUN di Sabah akan melantik satu pengusaha bagi melaksanakan kempen berkenaan.
"Untuk kita di Tanjung Aru, kita melantik Bataras Superstore Sembulan kerana keupayaan mereka mampu menyediakan barangan keperluan asas dengan kadar segera," katanya.
Sumber: Utusan Borneo